Syarifuddin Azman @ Damok bakal menjadi wakil tunggal negara di Kejuaraan Dunia MotoGP musim 2023 yang akan membuka tirai Februari ini bermula dengan sesi ujian rasmi.
Pelumba berusia 21 tahun itu akan membuat penampilan penuh di kelas Moto3 bersama pasukan MT Helmets-MSI bergandingan dengan Diogo Moreira.
Ketika pelumba MotoGP bertandang ke Litar Antarabangsa Sepang untuk sesi Sepang Shakedown dan ujian rasmi, Damok mungkin ke Sepanyol bersama pasukan barunya.
“Buat masa sekarang ini, saya mempersiapkan diri di Malaysia dan mungkin akan menyertai ujian (bersama pasukan) pada Februari ini di Sepanyol. Sebelum ini, saya sudah menjalani ujian bersama pasukan,” jelasnya.
Meskipun perlu menyesuaikan diri dengan jentera dan pasukan baharu, Damok meletak harapan tinggi untuk meraih gelaran ‘Rookie of the Year’.
“Kalau boleh saya ingin dapatkan gelaran ‘Rookie of the Year’ dan cuba dapatkan mata sebanyak mungkin,” tambahnya.
Bakal beraksi dengan jentera KTM, Damok akan memulakan kempen pertamanya di Litar Portimao, Portugal dari 24 hingga 26 Mac.
Lebih mencabar, Damok akan beraksi pada bulan Ramadan sekaligus bakal berdepan ujian berbeza.