Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS) sememangnya kurang digemari pengguna motosikal di Malaysia.
Ini kerana badan itu sering mengemukakan cadangan yang boleh mencetuskan rasa kurang senang dikalangan penunggang motosikal antaranya menghadkan kelajuan motosikal bawah 150cc kepada 70km/j dan hanya membenarkan penggunaan laluan kiri di jalan raya.
Memetik laporan Paultan.org, pengerusi MIROS, Wong Shaw Voon mencadangkan agar penunggang motosikal di Malaysia beralih ke pengangkutan awam sebagai pergerakan harian.
“Kami harap pada masa hadapan, kami dapat membawa kumpulan pengguna jalan ini dari cara pengangkutan yang paling bahaya kepada yang paling selamat, iaitu pengangkutan awam, seperti keretapi,” katanya dalam satu sidang media yang berlangsung pada Rabu.
Jelas Wong, selain kereta, pengangkutan awam merupakan medium pergerakan paling selamat.
“Di Malaysia kita ada kumpulan penunggang motosikal yang bergerak jarak jauh setiap hari. Sebagai contoh, mereka mungkin tinggal di Serdang atau Kajang, bekerja di Shah Alam dan menggunakan motosikal setiap hari.
“Jaraknya adalah jauh, dan memakan masa (menggunakan motosikal), yang mana adalah tidak selamat dan tidak sihat untuk penunggang,” tambahnya.