MV Agusta menyepi sementara sebaik mengumumkan projek Lucky Explorer pada pameran motosikal EICMA tahun lalu.
Projek tersebut menyaksikan MV Agusta bakal membangunkan dua motosikal segmen ‘adventure’ menerusi Lucky Explorer 9.5 dan Lucky Explorer 5.5.
Meskipun kedua-dua model ini cukup mengujakan namun tumpuan kami terarah pada Lucky Explorer 5.5.
Ini kerana model tersebut dibangunkan dengan kerjasama QJMotor yang merupakan syarikat pemilik kepada jenama Benelli.
Signifikannya kerjasama itu kerana Lucky Explorer 5.5 dikuasakan enjin sama yang terdapat pada Benelli TRK502 namun dengan ‘bore’ dan stroke’ yang telah diperbesarkan.
Sayangnya selepas pengumuman di EICMA tahun lalu, tiada perkembangan terbaru mengenai model itu sehingga kini.
Namun, MV Agusta akhirnya mendedahkan spesifikasi Lucky Explorer 5.5 di laman web rasmi syarikat itu yang sekaligus beri bayangan model tersebut akan diperkenalkan tidak lama lagi.
Berdasarkan info yang disiarkan, MV Agusta Lucky Explorer 5.5 dikuasakan enjin parallel-twin 554cc 8-valve DOHC dengan sistem penyejukan cecair yang berupaya menghasilkan 47hp pada 7,500rpm dan 51Nm pada 5,500rpm.
Kapasiti enjin lebih besar itu dicapai dengan membesarkan bore dan stroke dari 69mm x 66.8mm (dari TRK502) kepada 70.5mm x 71mm sekaligus menyumbang kepada tork yang lebih tinggi.
Kuasa pula disalurkan kepada tayar menerusi transmisi 6-kelajuan.
Meskipun begitu, Lucky Explorer 5.5 mendapat beberapa komponen premium antaranya fork depan USD dari Kayaba (boleh laras) dengan jarak pergerakan 135mm manakala bahagian belakang pula menempatkan monoshock Kayaba (boleh laras).
Sistem brek pula terdiri daripada kaliper brek Brembo 4-piston (depan) dengan cakera brek berkembar 320mm dan kaliper brek Brembo 2-piston (belakang) yang dipadankan bersama cakera brek 260mm.
Sementara itu, tayar pula terdiri daripada rim 19-inci depan dan 17-inci belakang.
Menariknya, dengan tangki sebesar 20L, Lucky Explorer 5.5 ini mampu pergi lebih jauh berbanding varian 9.5. Selain itu, MV Agusta juga mendakwa model ini mampu merekodkan kelajuan maksima sekitar 160km/j.
Antara ciri lain ditawarkan termasuk skrin TFT 5-inci dengan sambungan Bluetooth, sensor GPS dan sistem navigasi dengan fungsi ‘Turn-by-Turn’.
Untuk rekod, Lucky Explorer 5.5 akan dipasang sepenuhnya oleh QJMotor di China sekaligus bakal menjadi model MV Agusta yang paling mampu milik sebaik dilancarkan.