Motori Minarelli Bangunkan Enjin Dua-Lejang Capai Standard Euro5

Enjin dua-lejang sudah semakin pupus dan ketika ini penggunaannya hanya dihadkan pada kegunaa ‘off-road’.

Ini kerana enjin dua-lejang bukan sahaja menghasilkan bau yang kurang disenangi malah berasap dan bising sekaligus hampir mustahil untuk mencapai peraturan emisi semasa. 

Bagaimanapun, senario itu tidak menyekat pengeluar untuk merevolusikan pembangunan enjin dua-lejang. 

Terbaru, Minarelli memperkenalkan sebuah enjin dua-lejang serba baharu yang dibangunkan daripada enjin Yamaha 250cc. 

Menurut laporan enjin tersebut akan diguna pakai pada motosikal enduro Fantic XE300 yang akan dipasarkan di Eropah. 

Meskipun fokus utama pembangunan enjin itu adalah untuk kegunaan ‘off-road’ namun terdapat kemungkinan platform baharu itu boleh diguna pakai di jalan raya. 

Ini kerana enjin 300cc dua-lejang baharu itu berjaya mencapai standard emisi Euro5. 

Persoalannya, bagaimana Minarelli menghasilkan sebuah enjin dua-lejang yang berjaya capai standard Euro5?

Difahamkan, Minarelli telah melakukan beberapa penambahbaikan drastik dalam pembangunan enjin 300cc dua-lejang itu. 

Menurut laporan Motorrad Online, enjin tersebut mempunyai ‘exhaust outlet controller’ yang juga bertindak sebagai ‘decompression system’ bagi ‘starter’ elektrik. 

Difahamkan, enjin tersebut juga telah ditala secara besar-besaran agar menghasilkan ciri yang lebih sesuai di jalan raya. Kemungkinan besar, enjin dua-lejang tersebut tidak menghasilkan lebih daripada 50hp berbanding enjin dua-lejang lain dalam pasaran. 

Meskipun begitu, Minarelli mendakwa enjin tersebut masih lagi menghasilkan prestasi tinggi. 

Selain daripada sistem suntikan bahan api yang lebih kompleks, enjin tersebut juga dijangka dipadankan bersama sistem ekzos yang ditala semula bagi menghasilkan bunyi yang kurang bingit. 

Kejayaan Motori Minarelli membangunkan enjin dua-lejang yang mencapai standard Euro5 pastinya satu kejayaan besar bagi sebarang pengilang motosikal. 

Manakan tidak, ia secara tidak langsung memberi bayangan era enjin dua-lejang berpeluang hidup semula pada masa akan datang. 

Advertisements
[wp_dfp_ad slot="mm_lb_03"]