KTM RC990 Jalani Ujian, Lancar 2023?

KTM mungkin melakar nama di pentas kejuaraan dunia MotoGP kebelakangan ini terutamanya bagi kategori Moto2 dan Moto3. 

Meskipun begitu, pengeluar motosikal dari Austria itu masih ketandusan motosikal jenis ‘sportsbike’ berkuasa tinggi untuk pasaran global selepas terhentinya pengeluaran KTM RC8 pada 2015.

Walaupun KTM memperkenalkan RC 8C yang meminjam teknologi jenama itu di pentas MotoGP namun model tersebut hanyalah untuk kegunaan di litar lumba sahaja. 

Bagaimanapun, situasi itu akan berakhir tidak lama lagi selepas KTM dilihat sedang menguji jentera yang disebut sebagai RC990 baru-baru ini.

Ketika ini KTM tidak mempunyai enjin berkapasiti 990cc namun meninjau laporan media Eropah, KTM telah mengguna pakai enjin parallel-twin LC8c 889cc – yang terdapat pada KTM 890 Duke – lalu membesarkan ‘bore’ dan ‘stroke’ untuk mencapai kapasiti tersebut.

Ini bukanlah kali pertama jentera akan datang ini didedahkan namun perkembangan terbaru ini memberitahu bahawa model itu kini berada dalam keadaan siap berbanding sebelum ini. 

Melihat kepada reka bentuk keseluruhan model prototaip RC990 ini jelas menampakkan rekaan yang diilhamkan daripada KTM RC 8C. 

Selain itu, model prototaip itu juga menampakkan kerangka serba baharu seperti yang terdapat pada prototaip 990 Duke sebelum ini dan suspensi dari WP serta brek Brembo. 

Meskipun info lebih terperinci belum didedahkan setakat ini namun kami menjangkakan KTM RC990 ini mungkin akan membuat penampilan sekitar lewat tahun 2023. 

Apatah lagi melihat kepada kejayaan KTM menjual kesemua 200 unit KTM RC 8C 2023 dalam tempoh dua minit baru-baru ini, kedatangan RC990 pastinya akan mencipta impak sama. 

Advertisements
[wp_dfp_ad slot="mm_lb_03"]