Brembo sememangnya mempunyai pertalian erat dengan dunia perlumbaan dua roda termasuk kejuaraan dunia MotoGP dan WorldSBK.
Bagi tahun 2023, pengeluar aksesori motosikal Itali itu menggunakan pengalaman di pentas kejuaraan dunia bagi menghasilkan ‘radial master cylinder’ 19RCS Corsa Corta Race Replica.
Menurut Brembo, 19RCS Corsa Corta RR tersebut mempunyai daya tahan yang lebih tinggi di samping mampu mengurangkan kesan geseren sekaligus lebih lasak.
Lebih menarik, beberapa komponen terutamanya bahagian ‘floating piston’ dan gasket adalah bahan sama yang diguna pakai pada jentera MotoGP.
Meskipun reka bentuk ‘lever’ berbeza berbanding sebelum ini namun Brembo masih mengekalkan pemutar di bahagian atas yang membolehkan pengguna menyelaraskan titik cengkaman brek mengikut kesesuaian.
Pada masa sama, 19RCS Corsa Corta RR itu juga menawarkan tiga tetapan berbeza iaitu Normal, Sport dan Race.
Seperti kebiasaan, ‘radial master cylinder’ Brembo ini juga menawarkan fungsi RCS (Ratio Click System) yang membolehkan penukaran jarak antara titik tumpuan ‘lever’ ke piston antara 18 dan 20mm.
Meskipun harga belum diumumkan namun komponen baharu ini akan mula berada dalam pasaran bermula 2023.