MotoGP: Ducati Lawan Yamaha Jadi Tumpuan Di GP Malaysia

MotoGP akan bertandang ke Litar Antarabangsa Sepang (SIC) hujung minggu ini sempena GP Malaysia yang akan berlangsung dari 21 hingga 23 Oktober ini. 

Tumpuan pastinya terarah kepada perebutan kejuaraan dunia di antara pelumb Ducati Francesco Bagnaia dan wakil Yamaha, Fabio Quartararo. 

Ini kerana ketika di GP Australia tempoh hari, Bagnaia berjaya memintas Quartararo selaku pendahulu kejuaraan dunia MotoGP yang baharu selepas merekodkan tempat ketiga manakala Quartararo gagal menamatkan perlumbaan ekoran kemalangan.

Keputusan perlumbaan di litar Phillip Island itu menyaksikan Bagnaia kini mendahului dengan 233 mata, 14 mata di hadapan Quartararo. Sementara Aleix Espargaro masih lagi enggan mengaku kalah dengan 27 mata dibelakang Bagnaia.

Quartararo pastinya mahu merampas kembali status pendahulu bagi mencerahkan peluang untuk mengekalkan kejuaraan yang dimenanginya musim lalu.

Lain pula kisahnya bagi Bagnaia, yang mahu mengubati kekecewaan musim lalu dengan menghadiahkan kejuaraan bagi kem Ducati selepas kali terakhir dilakukan Casey Stoner pada 2007.

Bagaimanapun, berdasarkan statistik semasa, Bagnaia mempunyai peluang yang lebih cerah.

Untuk rekod, dalam lapan perlumbaan sebelum ini -termasuk di Australia – Bagnaia merekodkan empat kemenangan berturut-turut (Assen, Silverstone, Red Bull Ring dan Misano) dan berjaya menaiki podium di Aragon (kedua), Thailand serta Australia (ketiga).

Namun dia tidak bernasib baik di Motegi, Jepun apabila kemalangan di lap terakhir sekaligus gagal mengutip sebarang mata. 

Sementara itu, Quartararo pula tidak konsisten dan hanya menaiki podium sekali sahaja dalam baki lapan pusingan terakhir, mendapat tempat kedua di Austria di belakang Bagnaia.

Ketika di Phillip Island, Quartararo terus malang apabila dua kesilapan menyebabkannya kemalangan lalu menyaksikan status pendahulunya dirampas Bagnaia.

Namun begitu, Quartararo dalam kenyataan terbaru mendakwa dia akan membawa pertarungan ke Malaysia.

“Saya akan ke Malaysia dengan motivasi tinggi.

“Sepang adalah litar yang bagus dan saya sukakannya jadi kita lihat apa yang kami boleh lakukan,” jelasnya.

Pada masa sama, Quartararo menyifatkan cuaca panas di Malaysia juga akan memberi kelebihan pada keadaan tayar.

“Lebih mudah untuk tayar berada dalam keadaan panas tetapi itu tidak bermakna perlumbaan lebih mudah,” tambahnya.

Kali terakhir MotoGP berlangsung di SIC adalah pada musim 2019 dan ketika itu, Maverick Vinales yang masih bersama Yamaha muncul juara diikuti Marc Marquez dan Andrea Dovizioso. 

Quartararo pula merekodkan tempat ketujuh (bersama Petronas SRT) manakala Bagnaia (Pramac)di tempat ke-12.

Apa yang pasti, Litar Antarabangsa Sepang akan menjadi medan pertarungan antara Ducati dan Yamaha dalam merebut kejuaraan dunia 2022. 

Persoalannya, siapa yang menjadi pilihan untuk kejuaraan kali ini? Kongsikan pendapat anda di ruangan komen dibawah. 

Advertisements
[wp_dfp_ad slot="mm_lb_03"]