BMW M 1000 R 2023 Dirasmikan – 205HP, 199kg

BMW Motorrad akhirnya merasmikan BMW M 1000 R 2023 untuk pasaran dunia yang sekaligus menjadi model ‘M’ kedua diperkenalkan selepas M 1000 RR tahun lalu. 

Meskipun dibangunkan dengan platform S 1000 R namun M 1000 R ini mendapat enjin yang sama seperti M 1000 RR. Hasilnya, model M baharu ini menawarkan 205hp  pada 13,000rpm dan 112Nm pada 11,000rpm. 

Naik taraf pada sistem ShiftCam juga menyaksikan tork meningkat dari 10,000rpm kepada 12,000rpm dengan ‘redline’ diletakkan pada 14,600rpm berbanding 12,000rpm pada S 1000 R.

Berdasarkan angka tersebut, ini bermakna M 1000 R juga jentera yang boleh meliar di litar lumba.

Selain itu, M 1000 R 2023 ini juga datang dengan sproket lebih pendek, 47 berbanding 45 pada S 1000 R.

Gear 4, 5 dan 6 juga lebih pendek agar M 1000 R ini lebih mesra ketika tunggangan dalam bandar. Bagi pengalaman yang lebih mengujakan, BMW M 1000 R ini juga dilengkapi Shift Assistant Pro (quickshifter) secara standard. Menariknya operasi sistem ini boleh diselaraskan sama ada mengikut tukaran gear konvensional atau gear GP.

Pakej elektronik pula terdiri daripada empat mod menunggang; Rain, Road, Dynamic dan Race manakala tiga mod lagi boleh diaktifkan ketika dalam litar; Race Pro 1, Race Pro 2 dan Race Pro 3.

Ciri lain termasuk Dynamic Traction Control (DTC) yang merangkumi wheelie-limitation, pit-lane limiter, launch control dan hill-start control (HSC). 

Bagaimanapun, tumpuan utama sudah tentu terarah pada bahagian panel badan yang dilengkapi winglet aerodinamik. 

Menurut BMW, selain daripada menonjolkan rupa agresif M 1000 R ini, winglet tersebut juga berfungsi menghasilkan ‘downforce’ sehingga 10kg pada kelajuan 218km/j. 

Suspensi pula merangkumi fork depan jenis USD 45mm boleh laras (spring preload dan compression/rebound 10 peringkat) dan penyerap belakang dengan  preload/compression dan rebound boleh laras.

Menariknya, model ini juga disertakan dengan sistem Dynamic Damping Control (DDC) yang bertindak mengawal suspensi mengikut tetapan mod menunggang.

Brek pula dikendalikan cakera brek berkembar 320mm yang dipadankan bersama kaliper brek 4-pot di depand an cakera brek 220mm dengan kaliper 1-pot dibelakang. Brek juga diselia dengan ABS Pro dan Brake Slide Assist.

Akhir sekali, segala informasi jentera boleh diakses menerusi skrin TFT berwarna 6.4-inci. 

Difahamkan, BMW M 1000 R 2023 ini akan mula dipasarkan seluruh dunia bermula Januari tahun depan. 

GALERI: BMW M 1000 R 2023

Advertisements
[wp_dfp_ad slot="mm_lb_03"]