Meskipun nama Loncin kurang dikenali namun pengeluar motosikal dari China itu merupakan pihak yang bertanggungjawab membangunkan enjin bagi beberapa model BMW Motorrad.
Hasil kerjasama Loncin dan BMW Motorrad membawa kepada terhasilnya model C 400 GT, C 400 X, F 750 GS, F 850 GS, F 900 R dan F 900 XR.
Kerjasama yang terjalin itu menyamai langkah yang dilaksana KTM bersama CFMOTO dan Qianjiang Motor bersama MV Agusta.
Namun, beberapa tahun selepas menghasilkan enjin bagi BMW, Loncin akhirnya akan memperkenalkan model sendiri dibawah jenama Voge.
Voge merupakan jenama motosikal premium China milik Loncin.
Sebagai langkah sulung, Loncin dilaporkan akan melancarkan Voge 900DS di pameran motosikal EICMA pada November ini.
Imej motosikal itu turut bocor di laman sosial dengan beberapa media antarabangsa sudah berkongsi gambar model terbabit baru-baru ini.
Berdasarkan gambar dikongsikan, jelas model 900DS itu mendapat inspirasi daripada model ADV BMW seperti F 850 GS. Namun bahagian panel depan pula tampak seperti Triumph Tiger 900.
Ketika ini, Loncin menghasilkan enjin dua enjin parallel-twin untuk BMW, 853cc bagi model F 850 GS dan 895cc bagi F 900 R/XR.
Namun enjin 853cc pada F 850 GS lebih relevan kerana telah ditala bagi menghasilkan kuasa dan tork yang sesuai bagi sebuah jentera ADV pertengahan. Untuk rekod, enjin tersebut menawarkan 90hp dan 92Nm pada 6,250rpm.
Apa yang pasti, segala jawapan akan diketahui ketika EICMA berlangsung pada November ini.