Italjet Dragster 200 dan Dragster 125 tiba di Malaysia menerusi pengedar rasmi Chear Global.
Italjet Dragster ini ditawarkan dalam dua varian, 125cc dan 200cc dengan masing-masing dijual pada harga RM29,500 dan RM34,800.
Meskipun begitu, kedua-dua varian menampilkan rekaan, spesifikasi dan dimensi yang sama dan hanya dibezakan dengan kapasiti enjin sahaja.
Untuk rekod, varian 125cc menghasilkan 13hp daripada enjin satu silinder dengan penyejukan cecair manakala varian 200cc pula menawarkan enjin satu silinder 181cc dengan standard Euro5 yang berupaya menghasilkan 17hp pada 8,000rpm dan 15.5Nm pada 7,750rpm.
Lebih menarik, Italjet Dragster ini juga ditawarkan dengan komponen berprestasi tinggi antaranya brek Brembo dan suspensi depan dan belakang yang boleh diselaraskan.
Pada masa sama, apa yang turut menjadikan Dragster 200 dan Dragster 125 ini unik adalah penggunaan sistem ISS (Independent Steering System) yang menjaminkan kawalan lebih baik untuk tunggangan agresif.
Kehadiran tangki 9L juga memastikan Italjet Dragster 200 dan Dragster 125 sesuai digunakan sebagai skuter harian.