Ducati Bakal Lancar Motosikal Berenjin Satu Silinder 659cc?

Ducati telah pun memperkenalkan tiga model baharu setakat ini menerusi Ducati World Premiere 2023 (DWP 2023) yang disiarkan secara atas talian.

Pengeluar motosikal Itali itu telah pun melancarkan Streetfighter V4 Lamborghini, Monster SP dan terbaru Multistrada V4 Rally.

Setakat ini ketiga-tiga model terbabit bukanlah satu kejutan kerana kesemuanya adalah model sedia ada yang telah dipertingkat.

Bukan itu sahaja, dengan DWP 2023 masih berbaki empat episod lagi, kami menjangkakan tiga daripadanya libatkan Ducati Diavel V4, Scrambler baharu dan Panigale V4 R. 

Ini secara tidak langsung membuatkan kami berasa kurang teruja dengan episod akan datang DWP 2023. 

Namun, episod akhir, yang dijadualkan akan berlangsung di pameran motosikal EICMA dijangka membabitkan sebuah model serba baharu yang tidak pernah dihasilkan Ducati setakat ini.

Ini berdasarkan dokumen pendaftaran kenderaan yang telah difailkan Ducati di US National Highway Traffic Safety Administration (NHTSA) di Amerika Syarikat.

Dokumen tersebut – yang didedahkan Motorcycle.com –  memaparkan maklumat mengenai sebuah enjin satu silinder baharu. 

Dokumen difailkan pada 22 September itu turut menyenaraikan enjin bagi model 2023 yang melibatkan Panigale V4 R (1000cc), Scrambler (803cc), Multistrada V4 Enduro dan Diavel V4 (1158cc). 

Namun, maklumat enjin yang paling mencuri tumpuan adalah mengenai enjin satu silinder 659cc 4-valve dengan penyejukan cecair. 

Persoalannya, motosikal jenis apakah yang akan mengguna pakai enjin terbabit?

Sebelum itu, perlu diingatkan bahawa ini bukan kali pertama Ducati menghasilkan enjin satu silinder kerana pernah melakukanya pada era 60 dan 70an menerusi model Scrambler.

Kemudian pada era 90an, Ducati menghasilkan jentera edisi terhad Supermono bagi tujuan perlumbaan ‘Sound of Singles’.

Namun, tidak relevan untuk Ducati menggunakan platform baharu itu pada motosikal Scrambler kerana varian model itu ketika ini dihidupkan enjin 803cc dengan penyejukan udara. 

Jadi kemungkinan besar, enjin satu silinder 659cc itu akan digunakan pada model serba baharu.

Sama-sama kita nantikan perkembangan menarik dari Ducati.

Advertisements
[wp_dfp_ad slot="mm_lb_03"]