Kawasaki ZX-4R Bakal Dilancarkan 1 Oktober Ini?

Ketika Kawasaki mendedahkan ZX-25R di Tokyo Motor Show 2019, rata-rata peminat motosikal dunia terutamanya di Asia berasa teruja dengan kembalinya enjin 250cc 4-silinder. 

Motosikal tersebut ternyata berada dalam kelas tersendiri apabila muncul jentera sportsbike 250cc paling berkuasa dalam kelasnya dengan 50hp dan 22.9Nm. 

Setakat Jun 2021, Kawasaki berjaya menjual lebih 4,000 unit ZX-25R, melangkaui jangkaan 2,000 unit yang ditetapkan pengeluar motosikal Jepun itu.

Selepas kejayaan ZX-25R, Kawasaki dikaitkan pula dengan pembangunan ZX-4R pada Mei tahun ini. 

Tidak lama selepas itu, Kawasaki didapati mempatenkan nama ZX-4R dan memfailkan model tersebut di pasaran Amerika Utara dan Eropah ekaligus mengukuhkan dakwaan ketibaan model lebih berkuasa. 

Bagi menambahkan keterujaan, Kawasaki Indonesia telah memuat naik pengumuman terbaru di laman sosial rasmi mereka.

Berdasarkan video berdurasi 30 saat itu, Kawsaki mendedahkan terdapat sebuah model baharu dengan nama ZX yang akan dilancarkan pada 1 Oktober ini.

Tak dinafikan Kawasaki mempunyai beberapa model ZX lain termasuk ZX-25R, ZX-6R dan ZX-10R. Namun mengambil kira kesemua model diatas telah pun dikemas kini bagi tahun 2022, ini bermakna pengumuman tersebut merujuk kepada sebuah model serba baharu.

Tambahan pula dengan nama ZX-4R sudah mula berlegar dengan pendaftaran nama dan dokumentasi telah pun difailkan di beberapa negara maka hampir pasti model yang akan diperkenalkan itu merujuk kepada jentera 400cc 4-silinder terbaru Kawasaki.

Berdasarkan laporan sebelum ini, Kawasaki ZX-4R itu dijangka menawarkan kuasa lebih 60hp.

Advertisements
[wp_dfp_ad slot="mm_lb_03"]