Yamaha dengan rasminya mengumumkan juara dunia Moto2 musim lalu, Remy Gardner akan sertai projek Kejuaraan Superbike Dunia (WorldSBK) bagi musim 2023.
Menurut Yamaha, Gardner akan menggantikan tempat Garret Gerloff di pasukan GRT Yamaha WorldSBK.
Pengumuman tersebut turut menjelaskan bahawa Gardner telah menandatangani kontrak bersama Yamaha.
Bagaimanapun, ekoran masih terikat dengan KTM di MotoGP musim ini, kenyataan rasmi tersebut tidak disertakan dengan komen daripada pelumba Australia itu.
Namun, Pengurus Yamaha Motor Europe Road Racing, Andrea Dosoli, berkongsi keterujaan atas kejayaan menambat bakat muda itu.
“Remy merupakan bakat muda yang mengujakan dan mempunyai karier cemerlang di perlumbaan GP.
“Kami sangat berbesar hati kerana dapat memiliki pelumba yang berpengalaman beraksi di pentas tertinggi.
“Kami percaya dia calon sesuai untuk program WorldSBK Yamaha dan kami tidak sabar untuk melihat kemampuannya menunggang jentera R1 kami,” jelasnya.
Gardner sebelum ini dicanang akan menjadi rakan pasukan Pol Espargaro di Tech3 GASGAS sebelum KTM membuat pusingan ‘U’ dan memilih calon lain.
KTM juga mendakwa Gardner sebagai tidak profesional meskipun belum sampai setahun pelumba itu bersama KTM di kelas premier.
Ekoran ketiadaan tempat di MotoGP musim depan, keputusan berhijrah ke WorldSBK merupakan satu-satunya peluang untuk dia terus beraksi di pentas tertinggi.