Baru-baru ini terdapat desas-desus yang mengatakan bahawa Hong Leong Yamaha Motor akan menghasilkan semula motosikal ikonik, Yamaha RXZ untuk pasaran tempatan.
Meskipun dakwaan itu tidak benar sama sekali kerana pembinaan enjin 2-stroke telah pun dihentikan di samping tidak mencapai standard emisi semasa negara (Euro 4) namun masih ada lagi yang berkongsi berita tidak sahih itu.
Namun, bagi peminat motosikal klasik Yamaha di Thailand, mereka boleh bersorak kerana Yamaha Thailand masih lagi menghasilkan model klasik, seperti SR400.
Yamaha SR400 mula dihasilkan pada 1978 dan dipasarkan di Jepun sebelum diperkenalkan di pasaran dunia lain selepas itu termasuk di Thailand.
Bagaimanapun, sempena meraikan ulang tahun ke-44, Yamaha Thailand memperkenalkan SR400 Black Gold Limited Edition.
Model istimewa itu hanyalah terhad kepada pasaran Thailand sahaja dan datang dengan warna ‘Black Gold’ menyamai warna pada model pertama yang dihasilkan pada 1978.
Dikuasakan enjin 399cc 4-lejang SOHC dengan penyejukan udara, Yamaha SR400 ini menawarkan 22.9hp pada 6,500rpm dan 27.4Nm pada 3,000rpm.
Seperti model terdahulu, SR400 edisi terhad ini menggunakan ‘kickstarter’ namun telah dinaik taraf dengan sistem ‘fuel injection’ berbanding karburator.
Sistem suspensi pula hadir menerusi fork teleskopik di bahagian depan dan penyerap hentakan berkembar di belakang. Brek pula dikendalikan cakera brek 298mm depan dan brek drum di belakang.
Turut melengkapkan rupa Yamaha SR400 edisi terhad ini adalah penggunaan rim lidi 18-inci dengan tayar jenis tube.
Menariknya, hanya 400 unit Yamaha SR400 edisi ulang tahun ke-44 ini ditawarkan untuk pasaran Thailand dengan setiap unit disertakan nombor khas.
Menurut laporan di Thailand, Yamaha SR400 Edisi Ulang Tahun Ke-44 ini dijual pada harga THB309,000 (RM38k).