Tidak dinafikan, prestasi Fabio Quartararo kebelakangan ini kurang memberangsangkan.
Meskipun masih lagi mendahului kejuaraan dunia MotoGP selepas 13 pusingan, namun tekanan yang diberikan pelumba Ducati, Francesco Bagnaia, semakin dirasai apabila pelumba Itali mencatatkan empat kemenangan berturut-turut baru-baru ini.
Ini menjadikan Bagnaia telah pun menang enam daripada 13 pusingan setakat ini.
Senario itu berlaku ekoran kegagalan jentera Yamaha M1 memberi saingan terhadap kelajuan Ducati GP 22 yang dipacu Bagnaia. Sewaktu di GP San Marino, Quartararo terpaksa berpuas hati di tempat ke-5 dengan tiga jentera Ducati berada di hadapannya.
Juara dunia MotoGP musim lalu itu sebelum ini telah pun membangkitkan isu ‘top speed’ M1 pada permulaan musim 2022 namun setakat ujian ‘Winter Test’ di Sepang, Quartararo akui masih tidak berpuas hati dengan kemampuan jenteranya.
Bagaimanapun, Misano Test yang sedang berlangsung ketika ini akhirnya menghadirkan keputusan positif buat Quartararo, yang meluahkan rasa berpuas hati dengan prestasi jenteranya.
Ketika hari terakhir Misano Test, Quartararo merekodkan kelajuan terpantas kedua tertinggi dengan catatan 298.3km/j sewaktu menguji enjin prototaip terbaru Yamaha. Sementara itu, Jorge Martin merekodkan kelajuan tertinggi dengan 300km/j.
Meskipun mendapat bantuan ‘slipstream’ daripada rakan sepasukan Franco Morbidelli, namun pelumba Perancis itu tetap berpuas hati dengan prestasi semasa apatah lagi ketika di GP San Marino, Quartararo hanyalah ke-20 terpantas di litar.
“Pagi ini usaha kami terarah pada bahagian elektronik kerana perwatakan jentera (enjin) baharu itu berbeza.
“Top speed juga sangat baik, jadi saya sangat gembira dengan perkara ini.
“Walaupun dapat bantuan ‘slipstream’ tapi purata kelajuan juga baik (296km/j) berbanding pelumba lain,” jelas Quartararo.