Motosikal Guna Plat “Fancy” Ditahan JPJ

Penggunaan nombor plat terlampau fancy merupakan antara kesalahan dilakukan oleh penunggang motosikal dalam Op Lejang yang dijalankan oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) di susur masuk Plaza Tol Senawang di sini malam tadi.

Operasi selama lima jam bermula pukul 12 tengah malam itu diadakan dengan kerjasama Agensi Antidadah Kebangsaan, Polis Diraja Malaysia dan Majlis Bandaraya Seremban dengan memberi tumpuan kepada penunggang motosikal bagi mengekang aktiviti lumba haram.

Pengarah JPJ Negeri Sembilan, Hanif Yusabra Yusuf berkata, ramai yang beranggapan penggunaan nombor pendaftaran mengikut spesifikasi tidak penting daripada segi keselamatan jalan raya.

“Dalam operasi ini, kami menemukan pelbagai jenis nombor plat yang menyalahi peraturan termasuk ada yang berkilat, ada hanya sebesar dua jari, malah ada juga pemilik motosikal yang berani menunggang tanpa mempamerkan langsung nombor pendaftaran.

“Jika berlaku kemalangan, ia akan menyusahkan pihak berkuasa untuk melakukan siasatan sama ada pemilik motosikal yang melanggar atau dilanggar,” katanya.

Jelas Hanif Yusabra, tindakan mereka juga seolah-olah cuba mengaburi mata pihak berkuasa jika dikesan melakukan kesalahan seperti melanggar lampu isyarat atau melakukan aksi berbahaya.

“Sebanyak 68 motosikal diambil tindakan oleh JPJ atas pelbagai kesalahan termasuk ubah suai ekzos dan penggunaan nombor plat fancy.

“Selain itu, sebanyak 102 notis  telah dikeluarkan termasuk menyita lima motosikal dan 89 saman,” katanya. 

Advertisements
[wp_dfp_ad slot="mm_lb_03"]

Leave a Reply