Mothorn Lancar Aplikasi Khas Hasilkan Bunyi Unik Bagi Kenderaan Elektrik

Tidak dinafikan dunia kini sedang melangkah ke alam mobiliti elektrik sebagai usaha merendahkan penghasilan karbon yang selama ini menjejaskan alam sekitar.

Rata-rata pengeluar motosikal terkemuka dunia antaranya Yamaha, Honda, Kawasaki, BMW dan KTM telah pun mula mengorak langkah dalam membangunkan enjin elektrik.

Selain itu, jenama mobiliti lain juga memperkenalkan pelbagai lagi model elektrik seperti skateboard (papan luncur), e-skuter, basikal elektrik dan banyak lagi.

Bagaimanapun, ekoran tidak menggunakan enjin petrol, kebanyakan mobiliti elektrik termasuk motosikal tidak menghasilkan sebarang bunyi berbanding enjin pembakaran dalaman (ICE).

Ini sekaligus menjadikan kehadiran motosikal elektrik atau sebarang kenderaan elektrik lain tidak disedari pengguna jalan raya lain lantas boleh menyebabkan berlakunya kemalangan.

Menyedari perkara ini, sebuah syarikat antarabangsa Mothorn telah melancarkan aplikasi unik bagi menangani permasalahan tersebut.

Menurut Mothorn, aplikasi tersebut – yang masih berada dalam peringkat prototaip namun sudah boleh dimuat turun dari Google Play – berfungsi dengan menghasilkan bunyi unik dan futuristik untuk kenderaan elektrik.

Bunyi tersebut akan bertindak sebagai amaran kepada pengguna jalan raya lain termasuk pejalan kaki sekaligus mengelakkan daripada berlakunya kemalangan.

Menggunakan pengesan kelajuan GPS, aplikasi tersebut akan menghasilkan bunyi mengikut kelajuan semasa mobiliti elektrik terbabit. 

Terdapat tiga modul bunyi yang ditawarkan aplikasi terbabit, antaranya bunyi dari filem futuristik terkemuka, bunyi enjin konvensional dan bunyi yang dirakam pengguna menggunakan telefon pintar.

Menurut Mothorn, bagi menikmati bunyi tersebut pada skala yang lebih besar, pengguna dinasihatkan untuk menyambung telefon pintar kepada pembesar suara mudah alih atau pembesar suara yang terdapat pada kenderaan elektrik terbabit.

Aplikasi Mothorn boleh dimuat turun secara percuma di Google Play. Untuk maklumat lanjut, layari https://mothorn/io/ 

Advertisements
[wp_dfp_ad slot="mm_lb_03"]

Leave a Reply