Seorang pesara tentera telah nekad mengelilingi Semenanjung Malaysia menunggang Yamaha LCnya demi merealisasikan impiannya untuk melaungkan seruan azan di 99 masjid atau surau setiap negeri yang dikunjunginya.
Murad Mohd Kassim, 52 yang berasal dari Parit, Perak dan menetap di Putrajaya berkata, tujuannya melaksanakan Kembara Solo Hijrah Merdeka 2022/1444 Hijrah adalah sebagai usaha menghijrahkan dirinya dalam mendekatkan diri dengan Allah SWT.
“Sebenarnya perancangan ini sudah lama dilakukan dan saya melihat tempoh bersempena dengan kedatangan Awal Muharam dan Hari Kebangsaan nanti adalah sebagai waktu terbaik untuk saya melakukan usaha murni ini.
“Alhamdulillah usaha ini juga mendapat sokongan daripada anak dan isteri, selain ahli jawatankuasa masjid di setiap daerah dilawati.
“Pemilihan angka 99 itu juga sebagai mengingati 99 nama Allah. Namun, saya tidak memilih masjid atau surau tertentu untuk dikunjungi kerana saya akan singgah di mana-mana masjid atau surau di sepanjang perjalanan,” katanya ketika ditemui di perkarangan Masjid al-Hussain atau dikenali sebagai Masjid Terapung Kuala Perlis semalam.
Katanya, selain mendekatkan diri dengan Allah SWT, usaha ini juga sebagai satu disiplin kepada dirinya untuk sentiasa istiqamah dalam melaksanakan solat fardu lima waktu dan solat Jumaat.
“Kembara saya ini sebenarnya bermula dari kediaman saya di Presint 5, Putrajaya pada 6 Julai lalu dan saya bersyukur kerana sepanjang perjalanan ke Kuala Perlis saya sudah diberi peluang oleh pelbagai Ahli Jawatankuasa (AJK) Masjid untuk mengalunkan azan di 49 masjid atau surau .
“Kini berbaki 50 masjid atau surau sahaja lagi untuk saya merealisasikan usaha ini dan sudah tentu, banyak cabaran yang terpaksa ditempuhi dalam menyempurnakan usaha ini termasuk faktor cuaca,” katanya.
Murad berkata, isterinya, Roslina Osman, 41 serta tiga anaknya yang berusia antara 18 hingga 29 tahun merestui perjalanannya itu kerana mereka sudah memahami tujuan yang dilakukannya sama seperti sebelum ini.
“Bagi memastikan bahawa saya berpeluang melaungkan azan di setiap masjid atau surau, saya perlu berada sekitar 30 minit sebelum masuknya waktu solat untuk meminta kebenaran.
“Saya hanya berbekalkan wang saku sendiri sekitar RM1,000 sahaja yang mana RM200 dibelanjakan untuk pengisian petrol sepanjang kembara ini,” katanya.
Dia berkata, selepas Perlis, dia akan berkunjung ke Masjid al-Fateh di Jitra, Kedah sebelum meneruskan ke masjid atau surau di setiap negeri dalam kembara itu seperti Pulau Pinang, Perak, Selangor, Kuala Lumpur, Negeri Sembilan, Melaka dan Johor.