Tujuh Kali Disaman, Masih Tak Serik

Seorang remaja yang ditahan ketika berlumba dengan sekumpulan penunggang motosikal di Gunung Keriang, Kedah, mengaku pernah dikenakan tujuh saman dua tahun lalu.

Namun begitu, pelajar tingkatan empat itu masih tidak serik untuk menunggang motosikal secara berbahaya dan terbabit dengan lumba haram.

Dalam Op Samseng Jalanan oleh Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Setar itu, remaja 16 tahun berkenaan dikenakan saman untuk beberapa kesalahan termasuk tiada lesen memandu.

Selain remaja itu, operasi turut memeriksa 77 motosikal dan 30 kereta di sekitar Muzium Padi dan Gunung Keriang.

Terdahulu, Inspektor Mohd Hilmi Sauti dan Inspektor Jasmizar Jamiran mengetuai pasukannya melakukan intipan selama 30 minit terhadap kegiatan lumba haram itu yang turut disaksikan ‘penonton’.

Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Ahmad Shukri Mat Akhir berkata, sejumlah 126 saman dikeluarkan menerusi operasi itu atas kesalahan yang termasuk tiada lesen, cukai tamat tempoh dan penunggang bawah umur.

“Selain Muzium Padi dan Gunung Keriang, kita turut mengenal pasti beberapa lokasi lagi yang menjadi tumpuan lumba haram termasuk Jalan Pegawai dan Lebuhraya Darulaman.

“Kita kerap melakukan operasi di beberapa kawasan itu namun mereka ini tidak serik untuk terbabit dalam aktiviti tidak sihat,” katanya ketika ditemui malam tadi.

Ahmad Shukri berkata, sebanyak 13 motosikal disita kerana kesalahan ubah suai, cukai jalan tamat tempoh, tidak mempunyai cermin sisi dan lain-lain.

Katanya, mereka yang ditahan berusia antara 16 hingga 30-an yang menjadi penunggang, pembonceng dan penonton.

Beliau menasihati ibu bapa agar mengawasi anak masing-masing supaya tidak terjebak dengan aktiviti tidak sihat dan melanggar peraturan.

Advertisements
[wp_dfp_ad slot="mm_lb_03"]

Leave a Reply