Seorang lelaki telah cuba untuk menyogok seorang anggota polis dengan wang tunai RM200 dan akibatnya telah diberkas di Kemaman.
Dia telah cuba memberi rasuah itu sebagai dorongan melepaskan diri daripada pemeriksaan.
Suspek berusia 41 tahun yang berasal dari Pekan, Pahang tersebut didakwa melakukan perbuatan tersebut pada pukul 4.10 petang.
Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintendan Hanyan Ramlan berkata, sebelum kejadian, lelaki telah ditahan seorang anggota polis berpangkat Lans Koperal di lokasi kejadian.
Beliau memberitahu, pemeriksaan itu dilakukan setelah suspek kelihatan dalam keadaan mencurigakan bersama sebuah motosikal Honda Dash 125.
“Dia gagal mengemukakan lesen memandu dan cukai jalan motosikal tersebut apabila diminta anggota polis terbabit.
“Pemeriksaan menerusi dokumen pengenalan dirinya pula mendapati lelaki itu memiliki rekod jenayah lampau berkaitan dadah,” katanya.
Hanyan berkata, sewaktu hendak dibawa untuk menjalani ujian urin, suspek telah menghulurkan wang tunai RM200 dipercayai sebagai rasuah untuk menyelesaikan kes.