Suzuki akhirnya mengesahkan khabar angin mahu meninggalkan kejuaraan dunia MotoGP sebaik musim 2022 berakhir.
Suzuki Motor Corporation dalam satu kenyataan mendedahkan sedang mengadakan perbincangan dengan Dorna akan kemungkinan meninggalkan MotoGP sebaik musim ini berakhir.
Sekiranya Dorna bersetuju, maka Suzuki Ecstar akan tinggalkan MotoGP sekali lagi seperti yang berlaku pada musim 2012 hingga 2014.
Bagaimanapun, berdasarkan kenyataan dikeluarkan hari ini, Suzuki pastinya akan meninggalkan MotoGP buat selama-lamanya kerana mahu memberi fokus terhadap pembangunan teknologi baharu.
Ini sekaligus pelumba sedia ada, juara dunia musim 2020 Joan Mir dan rakan sepasukan Alex Rins perlu mencari pasukan baharu menjelang musim 2023.
Ketika ini hangat diperkatakan bahawa Mir akan berhijrah ke Repsol Honda menggantikan Pol Espargaro dengan kontraknya bersama pasukan Jepun itu tamat tidak akan disambung.
Media Itali, La Gazetta Dello Sport mendakwa Mir telah pun menandatangani kontrak dua tahun bersama Repsol Honda dan bakal digandingkan bersama Marc Marquez musim depan.
Bagaimanapun, Repsol Honda menegaskan tiada keputusan telah dibuat mengenai barisan pelumba bagi musim 2023 setakat ini.
Walaupun, pihak Honda menafikan perkara itu namun pengeluar motosikal Jepun itu sebelum ini mengakui telah mendekati Mir selepas usaha mendapatkan Fabio Quartararo gagal.
Sekiranya benar, ketibaan Mir di Repsol Honda bermakna Espargaro perlu mencari pasukan baharu musim depan.
Sementara itu, Rins pula dikaitkan dengan perpindahan ke RNF Racing kendalian Razlan Razali. yang didakwa bakal bergerak sebagai pasukan satelit Aprilia bagi musim 2023 setelah kerjasama dengan Yamaha akan berakhir musim ini.
Walaupun tiada pengesahan setakat ini namun apa yang pasti ketersediaan Mir dan Rins menjelang musim 2023 akan mencetuskan pelbagai rombakan pelumba di grid.