Persatuan Automotif Malaysia (MAA) menjangkakan kenaikan harga kenderaan akan berlaku ekoran peningkatan kos bahan mentah di samping kejatuhan nilai ringgit dan kekurangan cip komputer.
Perkara itu disuarakan presiden MAA, Aishah Ahmad yang memaklumkan kebarangkalian untuk harga kereta naik adalah tinggi susulan berlakunya peningkatan kos yang perlu ditanggung pengeluar.
Bagaimanapun, Aishah menjelaskan bahawa pengeluar kereta di Malaysia masih belum memutuskan sama ada untuk meningkatkan harga kereta ditawarkan atau terus menyerap kos tersebut.
“Peningkatan kos bahan mentah, logistik dan penurunan nilai ringgit merupakan antara sebab yang akan memberi kesan terhadap kenaikan harga kenderaan.
“Namun, perkara ini masih belum diputuskan,” jelas Aishah.
Peningkatan kos bahan mentah turut diperakui Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Proton, Roslan Abdullah.
“Kami masih belum membuat keputusan, buat masa ini kami masih cuba menyerap kos yang meningkat,” jelasnya. – BH