Jualan Motosikal Menurun, Mahu Fokus Kenderaan Elektrik Antara Punca Suzuki Tarik Diri Dari MotoGP?

Kebelakangan ini timbul berita mengejutkan dari kem MotoGP apabila Suzuki didakwa akan meninggalkan kejuaraan dunia itu sebaik musim 2022 berakhir.

Bukan itu sahaja, Suzuki turut dikhabarkan akan meninggalkan segala jenis perlumbaan dua roda termasuk EWC.

Meskipun tiada pengumuman rasmi daripada pihak Suzuki sendiri namun tindakan berdiam diri daripada pengeluar motosikal Jepun itu secara tidak langsung mengesahkan dakwaan tersebut.

Bukan itu sahaja, media antarabangsa melaporkan pihak Suzuki telah pun memberitahu kakitangan mengenai perkara tersebut sewaktu sesi ujian rasmi di Jerez, minggu lalu.

Bagaimanapun, setakat ini masih tidak dapat dikenal pasti apakah punca penarikan diri itu namun terdapat laporan yang mendakwa keputusan tergempar itu berkait dengan faktor kewangan.

Melihat kepada laporan tahunan terkini (2021) daripada Suzuki, syarikat berpangkalan di Hamamatsu, Jepun itu hanya berjaya menjual 153,000 unit motosikal seluruh dunia tahun lalu.

Jika dibandingkan dengan jenama Jepun lain, Kawasaki catat jualan 400,000 unit manakala Honda berjaya menyerahkan lebih 10 juta motosikal tahun lalu sahaja.

Sementara itu, jualan motosikal Suzuki jatuh 36 peratus dari 2010-2019 dan turun 10 peratus lagi pada 2020.

Ini sekaligus memberi bayangan bahawa permintaan terhadap motosikal Suzuki semakin menurun manakala pesaing lain antaranya Honda, Yamaha dan Kawasaki meningkat naik.

Walaupun terdapat banyak pemboleh ubah yang boleh memberi kesan terhadap angka jualan namun hakikatnya teknologi yang ditawarkan motosikal Suzuki agak ketinggalan jika dibandingkan dengan jenama lain.

*Suzuki GSX-S1000 GT

Sebagai contoh, model GSX-S1000GT 2022 masih lagi menggunakan enjin 4-silinder 999cc daripada K5 GSX-R1000 yang berusia lebih 17 tahun.

*Suzuki GSX-S1000

Suzuki GSX-S1000 2021 pula masih ketandusan beberapa ciri penting antaranya IMU 6-axis yang kini dianggap sebagai elemen standard pada motosikal berkuasa tinggi.

*Adaptive Cruise Control

Tidak lupa juga, jenama Eropah dan Jepun lain juga telah melangkah jauh ke depan dengan ciri terkini antaranya sistem radar yang menawarkan fungsi ‘Adaptive Cruise Control’ dan ‘Blind Spot Detection’ seperti yang terdapat pada Ducati Multistrada V4, KTM 1290 Super Adventure, Kawasaki H2SX, BMW R 1250 RT dan Triumph Tiger 1200.

Walaupun perancangan semasa Suzuki bagi segmen dua roda masih lagi samar namun melihat kepada laporan tahunan 2021, pelan ‘Mid-Term Management’ Suzuki yang berjalan dari April 2021 hingga Mac 2026 langsung tidak menyebut tentang motosikal.

Sebaliknya, pelan tersebut memberi fokus terhadap mempertingkatkan usaha dalam pembangunan mobiliti elektrik.

Pelan itu secara tidak langsung boleh memberi kesan terhadap kos perbelanjaan Suzuki di MotoGP dan pembangunan jentera dua roda.

Namun perlu diingatkan, semua ini hanyalah spekulasi ketika ini dan segala jawapan bakal terjawab sebaik pihak Suzuki memberi kenyataan rasmi tidak lama lagi.

Advertisements
[wp_dfp_ad slot="mm_lb_03"]