Enggan Berhenti Selepas Kantoi Guna Lorong Kecemasan, Pemandu BMW Ditahan

Jabatan Siasatan Jenayah Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman telah menahan seorang pemandu kereta jenis BMW selepas enggan memberhentikan kereta.

Pemandu tersebut diarahkan berhenti selepas dikesan menggunakan lorong kecemasan di Kilometer (KM) 434 Lebuhraya Utara Selatan arah selatan.

Bagaimanapun, lelaki berusia 35 tahun itu terus memecut ke lorong kanan dan cuba melarikan diri.

Walaupun polis beberapa kali mengarahkan berhenti namun suspek terus memandu dalam keadaan melulu dan membuat zig zag sebelum berjaya ditahan di KM22.7 Lebuhraya Kuala Lumpur-Kuala Selangor (LATAR).

Menurut Pegawai Turus Lebuhraya Tengah Zon A JSPT Bukit Aman, Asisten Superintendan Nasyrul Ridzuan Abd Razak, suspek cuba memberi alasan konon ibunya sakit dan sedang menjalani rawatan di Hospital Sungai Buloh.

Namun, pemeriksaan lanjut dengan menghubungi hospital dan doktor bertugas mengesahkan alasan diberikan hanyalah satu helah semata-mata.

Pada masa sama, polis juga mendapati cukai jalan kereta BMW yang dipandu juga telah tamat tempoh pada 6 Mei 2020.

Suspek yang ditahan bersama tiga wanita lain akan disiasat mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan dan Seksyen 42 Akta Pengangkutan Jalan 1987. – BH

Advertisements
[wp_dfp_ad slot="mm_lb_03"]

Leave a Reply