Menghasilkan helmet dengan sistem ‘head-up display’ (HUD) dan kamera pandang belakang bukanlah perkara baru kerana beberapa pengeluar helmet seperti Skully telah pun menghasilkan helmet seumpamanya.
Bagaimanapun, Skully terlibat dengan beberapa kontroversi sebelum jenama itu disahkan gagal sepenuhnya tahun lalu.
Namun, syarikat helmet Jepun, SHOEI bakal menjadi pengeluar helmet gergasi pertama dunia yang akan memperkenalkan helmat ‘futuristik’ menerusi SHOEI Opticson untuk pasaran global tidak lama lagi.
SHOEI telah pun membuat demonstrasi HUD sewaktu di CES 2019 bertempat di Las Vegas.
Sejak daripada itu, projek tersebut telah pun dibangunkan dengan pesat dengan SHOEI telah pun memfailkan tanda nama ‘Opticson’ di samping menayangkan beberapa helmet ‘Opticson’ sewaktu pameran motosikal Osaka dan Tokyo pada Mac lalu.
Sistem HUD itu membenarkan pemakai helmet melihat segala info dan maklumat yang diperlukan sewaktu menunggang.
Paling penting, sistem tersebut membolehkan si pemakai menyambung kepada telefon pintar bagi aplikasi navigasi dengan maklumat perjalanan akan disiarkan di HUD. Ini membolehkan si penunggang motosikal tidak lagi perlu tunduk untuk melihat skrin telefon sewaktu menunggang.
Kejayaan sistem itu hasil kerjasama dengan syarikat Hiroshima, NS West Inc memberi bayangan bahawa helmet Opticson akan diperkenalkan kepada umum tidak lama lagi.