Paten Baharu Dedah Rupa Jelas Benelli TRK 702, Lancar Tahun Ini

Jenama Benelli kembali meningkat naik sejak diambil alih syarikat gergasi China, Qianjiang.

Dibawah pengurusan baharu, ibu pejabat serta jabatan penyelidikan dan pembangunan (R&D) Benelli yang terletak di Itali meneruskan pembangunan beberapa model baharu sambil dibantu bahagian pembuatan dan pemasangan di China.

Kolaborasi dua bahagian ini berjaya menghasilkan motosikal Itali dengan harga lebih rendah dan mampu milik.

Dikalangan model yang ditawarkan, motosikal ‘adventure’, TRK 502 paling mendapat perhatian ramai.

Sejak diperkenalkan pada 2018, TRK 502 bingkas menjadi model paling popular dan berjaya muncul sebagai model paling laris di Itali pada tahun 2020.

Rekod itu kemudiannya dipecahkan pada 2021 apabila 6,543 unit berjaya dijual.

Menuju ke tahun 2023, Benelli sekali lagi bakal mengorak langkah baharu apabila akan melancarkan varian TRK yang lebih besar, dikenali sebagai TRK 702.

Perkara itu didedahkan menerusi paten terbaru yang difailkan di China oleh syarikat induk, Qianjiang.

Menariknya, paten tersebut turut mendedahkan rupa jelas TRK 702, yang semenangnya menawarkan rekaan serba baharu berbanding TRK 502.

Menurut dokumen yang difailkan, TRK 702 akan dikuasakan enjin parallel-twin 693cc dengan penyejukan cecair mirip dengan platform CFMoto 700CL-X.

Berupaya menghasilkan 75hp dan 70Nm, Benelli TRK 702 ini dijangka bakal memberikan saingan sengit terhadap segmen ADV pertengahan.

Advertisements
[wp_dfp_ad slot="mm_lb_03"]