Pelumba negara, Syarifuddin Azman telah dipilih untuk menggantikan pelumba pasukan Moto3, Alberto Surra untuk dua pusinngan bermula hujung minggu ini di GP Portugal.
Syarifuddin @ Damok akan mewakili pasukan Rivacold Snipers Team mengambil tempat Surra di GP Portugal dan GP Sepanyol selepas pelumba itu mengalami kecederaan serius sewaktu ujian bebas di GP Amerika Syarikat, 10 April lalu.
Damok – yang pernah beraksi di Moto3 musim lalu bersama Petronas Sprinta Racing – akui teruja dengan peluang yang diberikan kali ini.
Dia juga berharap pengalaman beraksi di Litar Algarve akan memberi sedikit kelebihan dalam memberikan aksi terbaik.
“Saya sangat gembira dengan peluang yang diberikan Team Snipers.
“Tahun lalu saya berupaya meraih posisi yang sangat baik pada sesi kelayakan Kejuaraan Dunia JuniorGP, jadi saya harap dapat meraih mata.
“Saya menyasarkan untuk dapatkan penamat dalam kelompok mata dan buat yang lebih baik di Aragon tahun lalu. Harap semuanya berjalan lancar dan semuanya menjadi kenyataan,” jelasnya.
Pelumba 21 tahun itu ketika ini sedang beraksi di Kejuaraan Dunia JuniorGP bersama pasukan SIC Racing.