Insiden helikopter mendarat di Padang Ipoh, Perak untuk mengambil 36 bungkus ‘nasi ganja’ pada bulan Julai tahun lalu masih lagi aktif.
Perkara itu disahkan Ketua Polis Perak, Datuk Mior Faridalathrash Wahid yang turut memaklumkan tindakan kompaun atau tuduhan di mahkamah tetap akan diambil terhadap pihak berkenaan.
“Kes helikopter berkenaan masih tidak ditutup lagi, ia masih hidup. Kita sudah selesaikan siasatan dan kita sudah rujuk siasatan kepada Jabatan Peguam Negara untuk tindakan seterusnya.
“Jadi di pihak polis, Insya Allah kita akan pastikan semua siasatan dilaksanakan secepat mungkin dan kita akan rujuk kepada agensi berkenaan untuk dapatkan arahan,” jelas Mior Faridalathrash.
Kertas siasatan lengkap telah pun diserahkan kepada Pejabat Peguam Negara sebelum ini namun satu arahan baharu telah dikeluarkan untuk pihak polis mengambil tindakan susulan berhubung beberapa isu berkait perundangan.
“Siasatan perkara itu juga sudah kita lengkapkan dan kembali dirujuk kepada Pejabat Peguam Negara. Jadi di pihak polis, kita sudah pastikan semua siasatan dilaksanakan secepat mungkin.
“Insya Allah dalam masa terdekat ini kita akan ambil tindakan, sama ada kompaun kepada pihak terbabit atau menuduh di mahkamah.
“Saya akan umumkan mengenainya selepas mendapat keputusan terkini,” tambah Mior lagi. – HM