Pengeluar motosikal Itali, Piaggio Group memilih Indonesia sebagai destinasi ketiga di rantau Asia untuk membuka kilang pemasangan.
Kilang serba baharu itu dilaporkan akan beroperasi sepenuhnya pada separuh kedua tahun ini.
Menjadikan Jakarta sebagai lokasi pilihan, kilang berkeluasan 55,000 meter itu akan sertai dua kilang lain di Asia, Vin Puch (Vietnam) dan Foshan (China).
Perkembangan terbaru oleh Piaggio Group itu dilihat akan terus mengukuhkan jenama Itali itu bukan sahaja di Asia malah Indonesia yang sebelum ini mencatatkan kenaikan jualan lebih 61 peratus bagi 2021.
Untuk rekod, Piaggio Group mempunyai 50 premis jualan di republik itu di samping empat Motoplex yang terletak di Jakarta, Bali, Surabaya dan Jogjakarta.
Motoplex merupakan pusat pameran yang menawarkan perkhidmatan dan servis serba lengkap bagi jenama Aprilia, Moto Guzzi, Vespa dan Piaggio.
Pemilihan Indonesia sebagai destinasi terbaru adalah satu perangkaan yang relevan susulan negara itu merupakan pasaran global terbesar motosikal selepas India dan China.
Kilang terbaru itu juga akan bertanggungjawab untuk memasang beberapa model terbaru Piaggio Group termasuk skuter ADV, Aprilia SRT 200.