Baru-baru ini, Qianjiang Motorcycle telah pun memfailkan paten nama Harley-Davidson 338R di Amerika Syarikat sekaligus mengesahkan kehadiran motosikal berkapasiti kecil itu tidak lama lagi.
Walaupun mengambil masa lebih dua tahun untuk kerjasama Qianjiang-Harley Davidson membuahkan hasil akhirnya perkembangan mengenai motosikal berkapasiti kecil sulung dari Harley-Davidson itu bakal direalisasikan.
Seperti dilaporkan sebelum ini, HD 338R itu dikuasakan enjin sama daripada Benelli 302R.
Bagaimanapun, dalam perkembangan terbaru, Qianjiang dilaporkan sedang menguji sebuah lagi motosikal Harley-Davidson kali ini babitkan model 500cc.
Lebih menarik, motosikal Harley-Davidson 500cc itu menampakkan chasis dan enjin yang sama daripada Benelli Leoncino 500.
Berdasarkan tangkapan gambar yang tular, segala elemen yang kelihatan – termasuk kerangka, fork depan 50mm dan kaliper brek radial – adalah mirip dengan Leoncino 500.
Bukan itu sahaja, bahagian swingarm, braket nombor plat, rim, footpeg dan handlebar juga dipinjamkan daripada Leoncino.
Namun, perbezaan ketara adalah di bahagian tangki dan subframe yang telah direka semula dengan DNA Harley-Davidson sendiri.
Bahagian sisi tangki juga memaparkan logo Harley-Davidson lantas memberi bayangan model ini telah berada dalam peringkat akhir ujian.
Sekiranya benar Harley-Davidson ini bernadikan enjin parallel-twin 500cc dari Leoncino maka dijangka model baharu itu akan menawarkan sekitar 45 hingga 50hp.