Khabar angin tentang kembalinya Honda Dax selepas menghilang lebih 40 tahun telah pun berkumandang sejak setahun yang lalu.
Majalah motosikal Jepun, Young-Machine, turut menerbitkan imej ‘render’ pada Februari lalu yang membayangkan rupa Dax tersebut.
Apa pun, Honda akhirnya merasmikan ST125 Dax untuk pasaran dunia menerusi pelancaran global yang berlangsung pada Isnin.
Diperkenalkan sebagai model 2023, Honda ST125 Dax itu akan sertai portfolio MiniMoto Honda yang dibarisi Monkey dan MSX125 Grom.
Generasi tebaru ST125 Dax ini dikuasaka enjin satu silinder 124cc SOCH dengna penyejukan udara yang berkemampuan menjana 9.25hp dan 10.8Nm. Kuasa enjin kemudiannya disalurkan kepada tayar belakang menerusi transmisi 4-kelajuan dengan bantuan klac ‘centrifugal’.
Dengan berat hanya 107 kilogram, ST125 Dax ini didatangkan dengan fork ‘upside-down’ 31mm, penyerap hentakan belakang berkembar, rim 12-inci, dan lampu LED penuh.
Motosikal terbaru Honda ini juga didatangkan dengan paparan digital LCD serta handlebar krom penuh.
Menariknya, berbanding Monkey 125 yang hanya boleh ditunggang oleh seorang sahaja, penggunaan frame besi membolehkan ST125 Dax ini menampung penunggang dan pembonceng .
Antara ciri menarik lain ditawarkan adalah:
- cakera brek depan 220mm
- cakera brek belakang 190mm
- kaliper brek hidraulik
- ABS saluran tunggal
Menurut Honda, ST125 Dax ini ditawarkan dengan dua pilihan warna; Pearl Nebula Red dan Pearl Cadet Grey.