WorldSBK: Hafizh Syahrin Buru Kedudukan ‘Top 10’ Di Setiap Pusingan

Pelumba Kejuaraan Dunia Superbike (WorldSBK), Hafizh Syahrin mensasarkan kedudukan tinggi menjelang permulaan musim 2022.

Hafizh, yang bakal membuat penampilan sulung di WorldSBK bersama MIE Racing Honda Team, tekad menggunakan pengalamannya di pentas Kejuaraan Dunia MotoGP dan Moto2 untuk beraksi lebih baik di WorldSBK.

Meskipun masih belum berpeluang menguji jentera Honda CBR1000RR-R Fireblade SP, Hafizh percaya naik taraf terbaru dilaksanakan Honda terhadap motosikal itu akan memberi kelebihan.

“Pertama sekali, saya masih belum mencuba jentera itu, tetapi saya percaya bermula daripada pertengahan musim yang lalu saya lihat jentera itu semakin baik.

“Saya mahu menamatkan saingan dalam kelompok 10 teratas bagi setiap perlumbaan dan cuba memberi cabaran kepada pelumba lain,” jelas pelumba berusia 27 tahun itu.

Pada masa sama, Hafizh mahu menggunakan kesempatan yang ada untuk mempelajari ilmu dari juara WorldSBK 2021, Toprak Razgatlioglu dan enam kali juara dunia WorldSBK, Jonathan Rea.

“Saya mahu belajar dari Toprak kerana dia masih muda dan pantas dan pelumba legenda seperti Rea.

“Walaupun cabaran ini cukup besar tetapi saya akan berikan segalanya dan gunakan pengalaman di MotoGP,” tambah Hafizh.

Pusingan pertama WorldSBK akan berlangsung di Litar Motorland Aragon pada 8 hingga 10 April ini.

Dalam perkembangan sama, saingan kejuaraan kali ini akan menyaksikan Hafizh turun sebagai seorang bapa, setelah isterinya selamat melahirkan anak sulung baru-baru ini.

Hafizh juga bakal bertanding dengan mengenakan helmet KYT menggantikan jenama SHOEI yang dipakainya untuk beberapa tahun di MotoGP.

Advertisements
[wp_dfp_ad slot="mm_lb_03"]