Sudah beberapa bulan khabar angin bertiup bahawa Kawasaki bakal memperkenalkan sebuah lagi motosikal dengan enjin bernadikan empat silinder.
Desas-desus mengenai model ZX-4R telah dibangkitkan sejak Kawasaki memperkenalkan ZX-25R di pasaran Indonesia dua tahun lalu.
Pengeluar motosikal Jepun itu turut memfailkan tanda dagangan ZX-4R sekaligus memberi bayangan bahawa motosikal empat silinder 400cc itu bakal menjadi kenyataan.
Dalam perkembangan terbaru, media Jepun Young-Machine (YM) telah menjadikan imej ‘render’ ZX-4R sebagai muka depan majalah mereka bagi keluaran April.
Malah, tajuk utama juga mencadangkan Kawasaki sedang bersiap sedia untuk pelancaran global ZX-4R tidak lama lagi.
Rekaan pada imej ‘render’ tersebut juga menunjukkan bahawa ZX-4R akan meminjam rekaan ZX-10R generasi terkini terutamanya di bahagian panel depan termasuk lampu.
Sejujurnya, kami jarang bagi tumpuan pada imej render kerana kebanyakkannya hanyalah ‘syok’ sendiri tetapi setakat ini imej render yang dikongsikan YM lebih 90 peratus tepat, jadi sukar untuk menidakkan dakwaan mereka.
Sementara itu, Kawasaki ZX-4R itu juga dijangka akan menawarkan pelbagai ciri premium antaranya Kawasaki Traction Control (KTRC) dan fork USD.
Buat masa ini belum dapat dipastikan berapakah kuasa yang mampu dihasilkan enjin tersebut namun menilai pada kemampuan ZX-25R menjana 50hp, kemungkinan besar ZX-4R menawarkan 75hp ke atas.