Remy Gardner menyifatkan aksi pelumba WithU Yamaha RNF Racing, Darryn Binder sewaktu pusingan pertama di Litar Lusai, Qatar sebagai membahayakan.
Seperti Binder, Gardner juga membuat penampilan sulung di kelas premier musim ini bersama Tech3 KTM.
Meskipun berjaya mengutip satu mata selepas menamatkan aksi di kedudukan ke-15, pelumba KTM itu berasakan dia mampu mencapai posisi yang lebih baik dengan mengejar Andrea Dovizioso dan Maverick Vinales jika bukan sebab Binder.
“Pada satu ketika, saya rasa seperti mampu kejar Vinales dan Dovizioso tetapi Binder berada di depan saya ketika itu dan saya tidak dapat memintasnya.
“Dia datang dari kelas Moto3, jadi tunggangannya bersepah, termasuk memasuki garisan pelumbaan tanpa menoleh walaupun ketika itu dia tersasar jauh.
“Situasi ini sangat membahayakan dan saya juga tertinggal dari kelompok depan.
“Saya mahu bersemuka dengannya (Binder) bagi membincangkan perkara ini,” jelas Gardner.