Suzuki telah memperkenalkan GSX-250R 2022 untuk pasaran global yang telah dikemas kini dengan pilihan warna baharu.
Menurut Suzuki, GSX-250R 2022 kali ini mendapat sentuhan warna dua-tona baharu Metallic Crystal Blue dan Pearl Nebular Black.
Warna baharu itu kelihatan jelas di bahagian cowl depan, tanki dan ekor.
Sementara itu, komponen lain tampil serba hitam termasuk fender depan, suspensi dan enjin manakala ekzos juga serba hitam dengan pelindung haba metalik.
Menariknya, grafik kali ini juga lebih ringan sekaligus mewujudkan rupa yang lebih bersih dan tidak serabut.
Bagaimanapun, model 2022 ini mengekalkan spesifikasi sama kecuali ABS yang kali pertama diperkenalkan bagi model yang dipasarkan di Amerika Syarikat.
GSX-250R ini didatangkan dengan kaliper brek dua-piston dari Nissin yang dipadankan bersama cakera brek tunggal di bahagian depan dan kaliper satu piston dengan cakera tunggal di belakang.
Sementara itu, GSX-250R ini juga kekal dikuasakan enjin parallel-twin 248cc DOHC dengan penyejukan cecair menjana 24hp dan 22Nm.
Di Amerika Syarikat, Suzuki GSX-250R ini ditawarkan pada harga USD4,999 (RM20.8k).