Seorang pengguna perkhidmatan kurier tempatan berasa serabut apabila motosikal jenis Yamaha RXZ yang dipos dari Tawau, Sabah sejak 13 Disember lalu masih belum sampai.
Muhd Zakri memaklumkan motosikal RXZ itu sehingga kini masih belum sampai ke tangan penerima meskipun telah memasuki hujung Februari.
“Saya pos motosikal saya dari Tawau pada 13 Disember 2021 dan jadi sampai sekarang motosikal saya masih tak sampai lagi ke alamat penerima.
“Saya dah cuba semak ‘tracking number’ tapi macam tidak dikemas kini, apabila saya hubungi pihak kurier asyik beri alasan sama,” jelasnya dalam satu perkongsian di Facebook.
Difahamkan, status terakhir dalam sistem 5 Januari 2022 menunjukkan motosikal tersebut telah pun keluar dari pusat kurier di Tawau dan dalam proses penghantaran.
“Kali terakhir saya hubungi pihak operasi kurier, mereka mengatakan motosikal saya kemungkinan masih berada di atas kapal dan tidak ada kebenaran untuk berlabuh.
“Tapi sebelum ini apabila saya hubungi mereka, pihaknya kata motosikal dah sampai Port Klang. Bukannya motosikal saya itu dari negara lain, dari Sabah sahaja,” tambahnya.