Ramai Yang Tanya Bila Nak Uji Jentera CBR1000RR-R – Hafizh Syahrin

Selepas diajukan soalan sama beberapa kali oleh peminat, akhirnya Hafizh Syahrin mendedahkan dia bakal menguji jentera Honda CBR1000RR-R pada bulan Mac ini sebagai persedian menghadapi musim sulung di Kejuaraan Dunia Superbike (WorldSBK).

Menurut Hafizh dia akan bingkas memulakan sesi ujian sebaik isterinya selamat melahirkan anak pertama.

“Ramai yang bertanya bila saya akan menguji secara rasmi. Saya akan menjalani ujian rasmi jentera berkenaan pada bulan Mac ini selepas isteri melahirkan anak,” jelas bekas pelumba Moto2 dan MotoGP itu.

Jelas Hafizh lagi, pasukan MIE Racing Honda Team ketika ini masih lagi dalam peringkat mempersiapkan jentera tersebut.

“Pasukan pun baru dapat motosikal dan mereka sedang mempersiapkan motosikal itu, jadi ia mengambil sedikit masa,” tambahnya.

Sementara itu, sebagai langkah persediaan, Hafizh turut sertai kejohanan MSF SuperMoto yang berlangsung di Litar Tangkak, semalam.

Berbekalkan pengalaman di pentas kejuaraan dunia, Hafizh muncul juara mengetepikan cabaran dari juara ASB1000 ARRC 2019, Azlan Shah Kamaruzaman, yang menduduki tempat kedua diikuti Danial Haiqal, ketiga. – BH

Advertisements
[wp_dfp_ad slot="mm_lb_03"]