Litar Antarabangsa Sepang (SIC) dalam satu kenyataan telah mengumumkan bahawa orang ramai dibenarkan hadir untuk menyaksikan ujian pra-musim MotoGP yang akan berlangsung dari 5 hingga 6 Februari ini.
Lebih menarik, kemasukan adalah percuma dan penonton boleh menyaksikan persediaan pasukan MotoGP secara dekat di Main Grandstand.
Bagaimanapun, sebagai mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) ditetapkan kerajaan, hanya individu dengan vaksinasi lengkap dibenarkan masuk ke SIC bagi menyaksikan ujian pra-musim berlangsung.
“Ini adalah acara sukan permotoran antarabangsa pertama di Malaysia sejak berlakunya pandemik dengan pelumba dan pasukan akan bergerak di bawah Motorsport Travel Bubble.
“Ini merupakan satu permulaan baik bagi kalendar 2022 dan menandakan usahasama untuk kembali menghidupkan industri sukan di Malaysia. Kami mahu berterima kasih kepada Kementerian Kesihatan (KKM) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) serta Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) atas sokongan mereka,” jelas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) SIC, Azhan Shafriman Hanif.