MotoGP: Marc Marquez Kembali Tunggang Motosikal Selepas 3 Bulan

Juara dunia enam kali MotoGP, Marc Marquez kembali menunggang motosikal buat kali pertama selepas tiga bulan disisihkan ekoran alami kecederaan mata.

Pelumba Sepanyol itu disahkan alami diplopia (double vision) susulan kemalangan sewaktu sesi latihan tahun lalu yang memaksanya terlepas dua pusingan terakhir MotoGP.

Bagaimanapun, pasukan perubatan telah pun mengesahkan bahawa Marquez menunjukkan perkembangan yang baik.

Selepas tiga bulan menjalani latihan tanpa melibatkan motosikal, Marquez kembali dengan aksi motocross selepas mendapat lampu hijau dari doktor.

Repsol Honda dalam satu kenyataan menyebut, “Marc Marquez jalani pemeriksaan perubatan dengan Dr. Sanchez Dalmau pada Isnin bagi menganalisis diplopia yang dialaminya. Pakar oftalmologi mengesahkan mata Marquez telah mula sembuh dengan baik.

“Maka dengan perkembangan terbaru ini, Repsol Honda menerima kebenaran untuk menunggang motosikal menerusi motocross.

“Selepas tiga bulan menyepi, Marquez kembali menunggang di Litar Ponts (Lleida),.”

Jelas Repsol Honda lagi, langkah seterusnya buat Marquez adalah kembali menunggang di litar.

Sementara itu, perkembangan terbaru ini menyaksikan Marquez akan turut sama terlibat dengan perasmian jentera Honda RC213V 2022 yang akan berlangsung pada 8 Februari depan.

Advertisements
[wp_dfp_ad slot="mm_lb_03"]