Kawasaki ZX-4R Akan Dilancarkan Tidak Lama Lagi

Kawasaki kembali mencuri tumpuan sejak melancarkan ZX-25R di Indonesia sehingga ada ura-ura yang mengatakan pengeluar motosikal Jepun itu akan turut memperkenalkan varian 400cc.

Dalam perkembangan terbaru, sumber dari Jepun telah pun mengesahkan bahawa model ZX-4R itu telah pun siap dan akan dilancarkan tidak lama lagi.

Meskipun berita tersebut mengujakan namun, kemunculan model ZX-4R itu bukan lagi satu kejutan apatah lagi Kawasaki telah pun memfailkan paten seawal 2019 berserta penerangan bahawa paten tersebut akan diperkenalkan pada model 400cc.

Menurut laporan media antarabangsa, Kawasaki ZX-4R itu akan mengikut acuan rekaan sama seperti ZX-25R termasuk kerangka tubular steel, dan swingarm.

Bagaimanapun, ZX-4R ini akan tampil dengan panel depan yang lebih tajam, diinspirasikan daripada model ZX-10R dan grafik dan warna menyamai ZXR750.

Jika ZX-25R menghasilkan 50hp dengan bantuan Ram-Air, ZX-4R ini pula dijangka menawarkan antara 70 hingga 80hp sekaligus menjadikan model ini paling berkuasa dalam kelasnya.

Seperti ZX-25R, model ini juga dijangka akan dipasarkan khusus untuk pasaran Asia.

Advertisements
[wp_dfp_ad slot="mm_lb_03"]