Pada 7 Januari lalu, telah berlaku satu rompakan bank di bandar Hai Phong, Vietnam dengan sejumlah VND3.5 bilion (RM646 ribu) berjaya dilarikan.
Bagaimanapun, perompak tersebut kemudiannya berjaya dicekup pihak polis dua hari kemudian selepas membuat satu pembelian dan menunjuk di media sosial.
Polis telah mengenal pasti Nguyen Van Nam, 23 tahun, sebagai suspek rompakan tersebut.
Identitinya diketahui selepas dia menggunakan duit rompakan dengan membeli sebuah Kawasaki ZX-10R 2021 sehari selepas melakukan jenayah itu lalu memuat naik pembelian motosikal tersebut ke media sosial.
Menurut laporan, polis berjaya menahan Van Nam berserta jentera ZX-10R terbabit dan baki wang rompakan sewaktu serbuan. Polis juga menemukan senjata yang digunakan semasa rompakan tersebut.
Namun, apa yang mencuri tumpuan, Van Nam juga sempat bergambar dengan jurujual Kawasaki tersebut ketika sesi penyerahan motosikal.
Lebih memeranjatkan apabila Van Nam merupakan salah seorang daripada ‘influencer’ terkenal di media sosial di Vietnam.
Difahamkan, sewaktu Van Nam datang membuat pembelian, kedai motosikal itu juga berasa sangsi bagaimana seorang remaja berusia 23 tahun mampu membuat bayaran tunai sebanyak VND700 juta (RM129 ribu) bagi sebuah superbike.
Sementara itu, Nguyen berjaya diberkas menggunakan rakaman CCTV rompakan di samping statusnya sebagai ‘influncer’ membuatkan ramai pengguna media sosial mengenalinya.