Ducati DesertX Didedahkan – Enjin Testastretta 110HP, Tangki 21L

Episod akhir Ducati World Premier menyaksikan pengeluar motosikal Itali itu memperkenalkan keluarga baharu, Ducati DesertX 2022.

DesertX yang sebelum ini membuat penampilan pada 2019 sebagai jentera konsep, akhirnya dirasmikan Ducati.

Ducati DesertX bakal sertai pasaran ADV yang ketika ini cukup kompetitif dengan persaingan dari Triumph Tiger 900 Rally, Honda CRF1100L Africa Twin dan akan datang, MV Agusta Lucky Explorer 9.5.

Menurut Ducati, DesertX mendapat inspirasi daripada jentera Cagiva Elefant yang suatu ketika dulu beraksi di Rali Paris-Dakar pada era 80an dan 90an.

Tampil dengan pilihan warna serba putih dengan gabungan kemasan merah seakan menyerupai penaja Lucky Strike pada Elefant, DesertX dilengkapi dengan ciri off-road tegar.

Bahagian depan DesertX paling menonjol dengan penggunaan lampu LED berbentuk bulat dengan fungsi daytime running light (DRL).

Penggunaan kerangka steel-trellis baharu menjaminkan ketahanan yang lebih baik sewaktu tunggangan lasak manakala suspensi dengan jarak perjalanan panjang yang dipadankan bersama tayar 21″ depan dan 18″ belakang menawrkan tunggangan yang lebih baik sewaktu ‘off-road’.

Sistem suspensi hadir menerusi fork depan USD 46mm dari Kayaba (boleh laras) dan monoshock Kayaba (boleh laras).

Antara ciri menarik lain ditawarkan:

  • Wheelie Control
  • Engine Brake Control
  • Ducati Quick Shift
  • Cruise Control
  • Ducati Brake Light
  • USB power Socket
  • Steering damper

Sementara itu, meskipun tampil dengan ciri adventure, Ducati DesertX ini juga sesuai untuk tunggangan jarak jauh hasil bantuan tangki 21L. Menariknya kapasiti tangki boleh ditambah lagi 8L yang boleh dipasang di bahagia subframe kanan jentera.

Aspek membrek pula dikendalikan menerusi cakera brek depan 320mm yang dipadankan bersama kaliper brek Brembo M50 sambil dibantu Cornering ABS oleh Bosch.

Ducati DesertX ini dikuasakan enjin Testastretta 937cc 11-darjah yang berkemampuan menghasilkan 110hp dan 92Nm.

Meskipun enjin dipinjamkan dari model Hypermotard dan SuperSport 950, Ducati telah mengemaskini enjin tersebut dengan komponen yang lebih ringan dan berjaya membuang sebanyak 1.7kg.

Tempat duduk penunggang dan pillion juga lebih selesa dan boleh diselaraskan mengikut keselesaan. Menurut Ducati, tempat duduk pillion juga boleh ditanggalkan.

Pada masa sama, bahagian papan pemuka yang menempatkan skrin TFT 5″ juga lebih tinggi bagi membolehkan penunggang melihat dengan lebih mudah meskipun sewaktu berdiri.

Ducati DesertX ini menawarkan enam mod tunggangan yang merangkumi Sport, Touring, Urban, Wet, Enduro dan Rally. Penunggang juga boleh mengubah Power Mode mengikut keselesaan.

Advertisements
[wp_dfp_ad slot="mm_lb_03"]