Brabus Bangunkan Projek Motosikal Sulung Guna KTM 1290 Super Duke R

Brabus sememangnya nama besar dalam dunia kenderaan empat roda terutamanya dalam menghasilkan kereta Mercedes berprestasi tinggi.

Bagaimanapun, selepas 45 tahun, syarikat Jerman itu julung kalinya bakal membangunkan jentera dua roda yang dinamakan Brabus 1300 R.

Perkara itu disahkan menerusi dokumen yang telah difailkan di Eropah yang memaparkan nama KTM Brabus 1300 R sekaligus merujuk kepada sebuah motosikal.

Nama model tersebut turut mendedahkan model itu dibangunkan dengan kerjasama pengeluar motosikal Austria, KTM.

Kertas kerja itu juga memaklumkan bahawa jentera yang akan mendapat talaan istimewa dari Brabus adalah sebuah KTM 1290 Super Duke R.

Namun, apa yang mencuri perhatian adalah dokumen tersebut menjelaskan Brabus 1300 R itu menawarkan 177hp dan 139Nm sama seperti 1290 Duke R. Ini bermakna, Brabus hanya akan menyentuh aspek rekaan di samping menawarkan spesifikasi yang lebih tinggi berbanding meningkatkan prestasi enjin.

Bagaimanapun, dimensi jentera tersebut jauh lebih langsing berbanding versi KTM.

Apa pun nantikan pendedahan rasmi oleh Brabus yang dijangkakan akan berlaku tidak lama lagi dan bakal ditawarkan sebagai model 2022.

Advertisements
[wp_dfp_ad slot="mm_lb_03"]