Juara dunia MotoGP musimi 2021, Fabio Quartarao memberitahu media dia enggan menandatangani kontrak baharu bersama Yamaha sekiranya jentera ‘factory’ M1 masih gagal pamer kemajuan.
Hari pertama ujian pra-musim di Jerez menyaksikan Quartararo sekadar menamatkan aksi di tempat kesembilan keseluruhan sementara pelumba LCR Honda, Takaaki Nakagami muncul terpantas.
Meskipun menguji jentera 2022, Quartararo mendakwa YZR-M1 tersebut masih lagi prototaip yang sama diujinya sewaktu di Misano pada September.
Taktala kontrak pelumba Perancis itu akan tamat pada hujung 2022, Quartararo menegaskan dia tidak berminat menandatangani kontrak baharu selagi jentera M1 tiada peningkatan menjelang ujian pra-musim di Sepang pada Februari.
“Masih terlalu awal. Saya tidak mahu menandatangani apa-apa sehingga ujian pra-musim di Malaysia.
“Saya mahu melihat perkembangan positif daripada jentera saya.
“Pada saya adalah normal untuk tidak mengikat kontrak baharu sebelum musim 2022 bermula.
“Saya akan tunggu sedikit masa lagi untuk lihat apakah perkembangan seterunsya bersama Yamaha terutamanya pembangunan jentera di Sepang nanti,” jelas Quartararo.
Difahamkan, Quartararo mahu melihat jentera M1 miliknya mempamerkan peningkatan kuasa yang lebih baik berbanding Ducati.