MotoGP: Kisah Quartararo Tamat, Musim 2022 Kembali Terarah Pada Marquez

Ketika pusingan di Misano World Circuit Marco Simoncelli dibayangi kejayaan Fabio Quartararo yang disahkan juara dunia MotoGP musim 2021, perkembangan menarik turut dipamerkan Marc Marquez.

Ini kerana pelumba Repsol Honda itu berjaya merekodkan kemenangan kedua berturut-turut dan ketiga keseluruhan selepas 16 pusingan setakat ini.

Dua kemenangan beturut-turut itu juga hadir pada waktu getir ketika perebutan kejuaraan antara Quartararo dan Francesco Bagnaia sedang memuncak sebelum pelumba Yamaha itu disahkan juara dunia di Misano, minggu lalu.

Bukan itu sahaja, selepas empat pusingan termasuk di Misano, Marquez juga muncul sebagai pelumba yang paling banyak mengutip mata dengan 83 mata diikuti Bagnaia (66 mata), Quartararo (62 mata) dan Enea Bastianini (52 mata).

Tiga kemenangan setakat ini juga meletakkan Marquez kedua terbanyak di belakang Quartararo (5).

Apatah lagi kejayaan di Misano merupakan yang pertama baginya di litar yang mengikut putaran arah jam selepas kali terakhir melakukanya 735 hari lalu di GP Jepun.

Marquez juga meluahkan rasa puas hati dengan keputusan tersebut di akhir perlumbaan.

“Memenangi perlumbaan di litar (putaran arah jam) yang sememangnya sukar jadi ini membuatkan saya berasa cukup baik bagi menghadapi musim depan,” jelasnya.

Senario ini juga secara tidak langsung membuktikan bahawa kecederaan tangan kanan yang dialaminya di Jerez musim lalu sudah pun 99 peratus pulih dan tidak lagi memberi kesan meskipun di litar dengan selekoh kanan yang banyak.

Kehebatan Marquez sememangnya tidak boleh disangkal kerana meskipun terlepas hampir keseluruhan musim 2020 dan dua pusingan pertama musim ini, penampilan pertamanya di Portugal berakhir dengan kedudukan ke-7.

Perlu diingatkan, pelumba berusia 28 tahun itu langsung tidak terlibat dengan pembangunan jentera RC213V diawal musim 2021 ekoran kecederaan.

Jadi melakar tiga kemenangan sambil menyesuaikan diri dengan jentera di samping baru pulih dari kecederaan bukanlah satu tugas mudah.

Meskipun senario semasa membuatkan ramai pihak berasa kagum dengan Marquez namun apabila menyemak kembali statistik pelumba itu, 59 kemenangan keseluruhan di kelas premier dibelakang Giacomo Agostini (68) dan Valentino Rossi (89), kita akan kembali sedar bahawa Marquez sememangnya seorang juara dan enam takhta MotoGP sudah cukup membuktikan statusnya.

Tatkala perlumbaan musim 2021 masih berbaki dua pusingan (Portimao dan Valencia), segala yang dilakukan Marquez ketika ini secara tidak langsung melaungkan amaran bahawa dia adalah pelumba yang seharusnya digeruni Quartararo, Bagnaia dan yang seangkatan dengannya memasuki musim 2022.

Advertisements
[wp_dfp_ad slot="mm_lb_03"]