Malaysia semakin hampir untuk memintas Thailand dengan kadar kemalangan maut motosikal tertinggi dunia.
Menurut statistik oleh Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman, lebih 70.2 peratus daripada sejumlah 2,954 kemalangan maut di Malaysia membabitkan penunggang motosikal dari bulan Januari hingga Ogos tahun ini.
Sementara itu, sejak 2015 pula, sejumlah 26,316 penunggang motosikal dan pembonceng telah terbunuh dengan kadar purata berada di antara 62.7 peratus hingga 67.3 peratus.
Menurut Pengarah Pusat Kejuruteraan Keselamatan Jalan Raya dan Alam Sekitar, Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS), Muhammad Marizwan Abdul Mana, data terbaru oleh PDRM itu ternyata membimbangkan.
“Data terbaru ini ternyata mengejutkan kerana pada awalnya kami jangkakan kemalangan maut motosikal akan mencapai 70 peratus pada 2025,” jelasnya.
Ketika ini, Libya merupakan negara paling membahayakan untuk penunggang motosikal diikuti Thailand di tempat kedua namun sejak 2015, negara jiran itu merekodkan kes kemalangan maut motosikal tertinggi.
Mengikut laporan 2018 oleh WHO, 74 peratus daripada jumlah kemalangan maut 22,491 babitkan penunggang motosikal. – FMT