Terima Kasih Semua Yang Sokong Saya Sampai Sini – Hafizh Syahrin

Pelumba Moto2 negara, Hafizh Syahrin seakan memberi bayangan bahawa kariernya di kejuaraan dunia telah pun berakhir.

Perkara itu dibangkitkan menerusi perkongsian di Instagram story miliknya, hari ini.

Dalam gambar tersebut, Hafizh menyampaikan ucapan terima kasih kepada semua yang telah memberikan sokongan terhadapnya selama lapan tahun di Kejuaraan Dunia.

Musim 2021 bakal melabuhkan tirai dengan baki tiga pusingan lagi namun status Hafizh bersama NTS RW Racing masih menjadi tanda tanya tatkala tiada pengesahan sama ada kontraknya akan disambung.

Bagaimanapun, perkongsian terbaru Hafizh ini seakan mengesahkan senario tersebut meskipun telah berkhidmat dengan baik dalam membangunkan chasis dan jentera NTS.

Sekiranya Hafizh meninggalkan Kejuaraan Dunia maka ini bermakna negara akan ketiadaan pelumba tempatan di kejohanan itu musim depan.

Pada masa sama, ketiadaan pasukan Petronas Sprinta Racing di Moto2 dan Moto3 musim depan turut menyukarkan pelumba tempatan, Syarifuddin Azman dan Adam Norrodin untuk ‘naik pangkat’ dari FIM CEV.

Apa sekalipun, kita nantikan pengumuman rasmi dan perkembangan terkini dari pihak Hafizh.

Advertisements
[wp_dfp_ad slot="mm_lb_03"]