Ducati Malaysia mengumumkan lanjutan waranti tiga bulan untuk pemilik Ducati.
Lanjutan tiga bulan tersebut adalah khas bagi pelanggan Ducati dengan waranti sedia ada bakal tamat tempoh antara Ogos hingga September 2021.
Langkah tersebut merupakan inisiatif terbaru dari Ducati Malaysia bagi membantu pemilik yang sebelum ini berdepan kekangan untuk menghantar motosikal bagi tujuan selenggara dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Menurut Pengurus Besar Ducati Malaysia, Dennis Michael, usaha ini adalah berkat sokongan pelanggan terhadap jenama Ducati di Malaysia.
“Pemilik dan pelanggan kami sentiasa memberi sokongan teguh terhadap jenama Ducati di Malaysia jadi kami berasa terpanggil untuk menghulurkan seberapa banyak bantuan yang boleh agar sama-sama dapat mengharungi tempoh pandemik ini.
“Sokongan bersama ini juga membuka jalan kepada pelanggan menikmati pengalaman yang lebih baik kelak,” jelasnya.
Sementara itu pemilik hanya perlu membuat janji temu dengan mana-mana pusat servis Ducati terdekat untuk menikmati lanjutan waranti tiga bulan ini.
Sebarang masalah akan ditangani mengikut yang termaktub dalam perlindungan waranti manakala pelanggan boleh nikmati diskaun sehingga 15 peratus bagi setiap alat ganti.
Pada masa sama, pelanggan yang hadir untuk tujuan selenggara motosikal juga boleh nikmati diskaun sehingga 35 peratus bagi aksesori dan pakaian Ducati.