MotoGP: Zarco Tunggang Ducati SS 1981 Dan Tempuh 950km Untuk Ke GP Aragon

Ketika pelumba lain memilih untuk terbang ke pusingan seterusnya MotoGP di Aragon, Johann Zarco memilih haluan berbeza.

Keputusan oleh majoriti pelumba MotoGP untuk terbang ke destinasi perlumbaan seterusnya dianggap rasional kerana tidak perlu menghabiskan tenaga yang diperlukan untuk beraksi selama tiga hari bermula dengan ujian bebas pada.

Bagaimanapun, lain kisahnya buat Zarco, yang memilih untuk menunggang dengan sendiri ke Motorland Aragon dari Itali dengan menempuh jarak hampir 1,000km.

Lebih mengejutkan, pelumba Ducati itu melakukannya dengan sebuah jentera Ducati 900 SS Darmah 1981 yang telah dipulihkan berbanding model Multistrada yang ternyata lebih sesuai dan selesa untuk tunggangan jarak jauh.

Pengembaraan itu membawanya ke laluan di Alps dan melalui rumahnya di Andorra kemudian menuju ke Sepanyol.

Menurut Zarco, idea itu datang dari pasukannya sendiri.

“Mereka telah merancang selama beberapa bulan. Idea asal adalah bermula di Itali, merentasi Alps kemudian menuju ke Andorra dan seterusnya ke Aragon.

“Ketika saya diberitahu idea ini, saya terus berminat untuk sertai kerana perjalanan itu tak jauh dari rumah saya,” jelasnya.

Zarco akui perancangan awal adalah menunggang Ducati Multistrada tetapi disebabkan termakan dengan gurauan rakan sepasukan, dia memilih untuk menunggang 900 SS 1981 tersebut.

Meskipun sudah berusia lebih 40 tahun namun jentera Ducati tersebut tidak membawa sebarang masalah sebaliknya pengembaraan tersebut diganggu oleh masalah jentera dialami rakannya yang menunggang BMW.

“Selepas selesai makan malam pada malam pertama, salah sebuah motosikal jenama BMW mengalami masalah, buat malu sahaja,” gurau Zarco.

Meskipun menempuh 950km sebelum tiba di Motorland Aragon, Zarco berjaya menempatkan diri dikalangan 10 pelumba terpantas dalam FP1 sebelum merekodkan masa keempat terpantas di FP2, ketika sesi ujian bebas, semalam.

Advertisements
[wp_dfp_ad slot="mm_lb_03"]