MotoGP: Quartararo Terus Gah, Espargaro Hadiahkan Podium Sulung Aprilia Racing

Fabio Quartararo mengukuhkan kedudukan selaku pendahulu kejuaraan dunia MotoGP setelah merekodkan kemenangan kelima di GP Britan, hari ini.

Pelumba factory Yamaha itu dengan selesa melintasi garisan penamat dengan jarak tiga saat diikuti wakil Suzuki Ecstar, Alex Rins kedua dan pelumba Aprilia, Aleix Espargaro ketiga.

Sementara itu, Pol Espargaro (Repsol Honda) yang bermula di petak pertama, terpaksa akur di kedudukan kelima meskipun mendahului di peringkat awal perlumbaan.

Perlumbaan rancak pada suatu ketika menerusi saingan adik beradik Pol dan Aleix Espargaro apabila berada dikedudukan pertama dan kedua sebelum Quartararo memintas dan terus membuka jurang besar.

Bagaimanapun, Rins yang bermula di petak ke-10 menampilkan aksi terbaiknya musim ini untuk mengejar kelompok depan sebelum menempatkan diri di tempat kedua.

Pada masa sama, Aleix Espargaro turut pamer aksi terbaiknya setakat ini apabila menghadiahkan podium pertama bagi pasukan Aprilia Racing.

Meskipun sempat dipintas Jack Miller di lap terakhir namun Espargaro kembali mengejar untuk merampas kembali kedudukan ketiga.

Selain itu, Jake Dixon terpaksa akur dikedudukan terakhir dalam aksi sulung di kelas premier bersama Petronas Sepang Racing Team (SRT).

Berikut keputusan penuh perlumbaan:

Advertisements
[wp_dfp_ad slot="mm_lb_03"]